Najib ulangi dakwaan Tun M sering beri tekanan sokong projek kroni

0
2

DATUK Seri Najib Razak mengulangi kenyataannya mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad asyik memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroni beliau ketika menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata, beliau terpaksa menegaskan perkara itu kerana ada pihak terutama penyokong Dr Mahathir yang tidak percaya mengenai pendedahan tersebut dan memintanya untuk memberikan bukti.

“Ada penyokong sebelah sana yang tidak percaya dan suruh saya beri bukti.

“Okay, maka saya ulangkan bukti bagi kali terakhir Mahathir tekan saya sebelum dia tarik sokongan dan mula berkomplot dan menyerang saya,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Najib, semuanya bermula apabila Datuk Seri Mukhriz yang juga anak Dr Mahathir kalah dalam pemilihan Umno pada Oktober 2013.

“Bagi menunjukkan dia marah, pada hari pertama PAU Umno 2013, Dr Mahathir dengan mengejut mengumumkan meletak jawatan sebagai penasihat Petronas dengan alasan dia sudah terlalu tua.

“Pada 2 Disember 2013, Dr Mahathir lepaskan jawatan penasihat Petronas, tapi tak sampai 3 bulan kemudian, dia tiba-tiba dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Proton yang sudah diswastakan,” katanya.

Jelas Najib, antara tugas utama Dr Mahathir sebagai Pengerusi Eksekutif Proton ialah meminta geran percuma RM3 bilion untuk Proton dari kerajaan, namun diturunkan kepada RM1.7 bilion oleh Proton.

Najib berkata, pada waktu itu sukar untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi geran percuma begitu besar kepada sebuah syarikat yang sudahpun 100 peratus milik swasta.

“Lagipun, pendapat kita ialah jikapun kita memberi geran begitu besar itu ianya masih sukar untuk Proton untuk menjadi kompetitif tanpa rakan niaga dan tekonologi baru kerana pasaran tempatan terlalu kecil.

“Lalu, setelah geran ini ditolak sekali lagi, PM ke-4 (Dr Mahathir) pun umum tarik sokongan kepada saya pada bulan Ogos 2014,” katanya.

Najib berkata, susulan keengganannya memenuhi permintaan Dr Mahathir menimbulkan kemarahan bekas Perdana Menteri itu dan merancang menjatuhkannya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2014.

“Masa Dr Mahathir tarik sokongan, tak ada pun dia pernah sebut SRC atau 1MDB tetapi lebih kepada dasar-dasar saya seperti BR1M dan gaji minimum merugikan negara dan industri tempatan.

“Itupun alasan, sebab saya tahu sebab utama ialah dia amat marah pada saya masa itu sebab dia tuduh saya tak sokong anak dia dalam pemilihan parti Umno serta menjatuhkan air muka menolak permintaan memberi geran percuma sebanyak RM1.7 bilion hingga RM3 bilion kepada Proton.

“Dan tahun 2014 inilah yang Muhyiddin melihat ada kesempatan dan mula berkomplot dengan Mahathir/Muhkriz untuk tumbangkan saya seperti didedahkan Mukhriz dalam mahkamah,” katanya.

Baru-baru ini, Najib mendedahkan Dr Mahathir selalu memberi tekanan kepada beliau untuk menyokong projek-projek kroni Ahli Parlimen Langkawi itu sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata demikian sebagai respon kepada surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor yang tidak mahu dirinya kembali berkuasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here