PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kerajaan berdepan cabaran besar dalam pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, namun kerajaan tidak berputus asa, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, kerajaan juga menggalakkan lebih banyak syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bangkit semula melalui Semarak Niaga
“Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) dilaksanakan untuk membantu usahawan tempatan dengan nilai suntikan dana berjumlah RM40 bilion untuk akses pembiayaan kepada pengusaha PMKS dan sektor informal.
“Kepada komuniti PMKS, saya berharap agar Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan masing-masing,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Perdana Menteri melancarkan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion, sebagai sebahagian daripada strategi induk Bajet 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutama PMKS.
Ismail Sabri berkata, program SemarakNiaga itu akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.
Program itu katanya, merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.
“Program SemarakNiaga akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor Kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutama dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini,” katanya. – Malaysiapost

