70 rumah di Melaka rosak dipukul ribut

0
2

KIRA-KIRA 70 kediaman di dua daerah di Melaka Tengah mengalami kerosakan dan terjejas akibat ribut dan hujan lebat, lewat petang semalam.

Kawasan terjejas dalam kejadian berkenaan meliputi Batu Berendam dan Krubong di daerah Melaka Tengah, serta Durian Tunggal, Alor Gajah.

Rahmat Alus, 51, berkata, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga ketakutan dan hanya mampu melaungkan azan untuk menenangkan keadaan.

“Ketika itu, saya hanya mampu melaungkan azan bagi menenangkan ahli keluarga yang ketakutan apabila bumbung rumah diterbangkan angin kencang.” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Rahmat berkata, insiden berlaku ketika beliau bersama lima ahli keluarga, termasuk ibu berusia 81 tahun dan anak saudaranya, sedang berada di rumah sebelum angin kencang tiba-tiba menerbangkan bumbung bahagian belakang serta bilik hingga kira-kira 50 meter ke rumah jiran.

“Sebaik saja bumbung diterbangkan angin, kami sekeluarga terus bergegas keluar dan berlindung di bahagian hadapan rumah sambil saling berpelukan.

“Keadaan ketika itu amat mencemaskan sehingga anak saudara menangis tidak henti kerana ketakutan. Ini kali pertama kami mengalami kejadian seumpama ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Shahrul Jaapar, 39, berkata beliau turut dikejutkan dengan insiden sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Ketika itu, saya baru pulang dari mengambil anak saudara di sekolah agama berdekatan dan hujan sedang lebat, namun tidak menduga akan berlaku kejadian tidak diingini.

“Tiba-tiba, terdengar bunyi kuat sebelum rumah dilimpahi hujan menyebabkan kami sekeluarga berlari dan berlindung di ruang tamu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, susulan kejadian berkenaan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas.

“PPS dibuka di Balai Raya Belimbing Dalam, Alor Gajah, yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga selepas bumbung kediaman mereka tercabut serta bekalan elektrik terputus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here