Pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang berkuatkuasa esok

0
2

AKTA Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 [Akta A1644] akan berkuatkuasa mulai esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata akta itu telah mendapat perkenan Diraja pada 19 Januari lalu dan diwartakan pada 25 Januari.

“Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri telah menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa Aka A1644 ini pada 22 Februari 2022 (esok),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan yang melibatkan pindaan bagi perkara-perkara yang
berikut:

(a) Pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan (coercion);

(b) Peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan;

(c) Peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk melibatkan penjawat awam;

(d) Pewujudan kuasa Menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa di bawah Akta 670;

(e) Penambahan keanggotaan organisasi lain dan badan bukan Kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAP); dan

(f) Peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam pengurusan dan kawalan pegawai pelindung seta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang.

Dalam pada itu, Ham zah berkata, Akta A1644 ini dihasratkan mampu memberi solusi terbaik dalam menzahirkan usaha Malaysia dalam menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih efektif.

“Pendekatan menyeluruh Kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat (whole-of-society) diyakini boleh menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa sekaligus meningkatkan imej Malaysia di mata masyarakat dunia,” katanya.

Hamzah berkata, seluruh lapisan masyarakat diseru untuk bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membanteras jenayah tersebut.

“Ia termasuk dengan melaporkan sebarang maklumat melalui Chatbot di laman Facebook Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, e-mel mapo [email protected] dan talian 03-8000 8000,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here