PGSM gesa tubuh jawatankuasa khas, pinda perlembagaan

0
2

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan kuasa semakan kehakiman.

Presidennya Musa Awang, berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan jangka panjang meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan tersebut.

“Ia bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri mengadakan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat Majlis Agama Islam Negeri.

“(Termasuklah) keputusan jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri-negeri, termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PGSM berpandangan bahawa apa-apa semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi undang-undang syariah termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri sewajarnya dibuat oleh Mahkamah Syariah.

“Memandangkan ia adalah forum yang sesuai dan kompeten kerana ia melibatkan pihak-pihak di kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada Hukum Syarak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.

Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.

Pada 21 Januari 2020, SIS Forum memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here