YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, semalam.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang pasukan badminton negara yang mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan tersebut buat pertama kalinya dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Kejohanan dwitahunan ini juga merupakan pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, di mana empat pasukan terbaik akan layak ke acara berpasukan itu pada Mei depan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, skuad lelaki negara menepati ramalan untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia selepas menumpaskan juara bertahan, Indonesia, 3-0 di Setia City Convention Centre, Shah Alam. – Malaysiapost

