Kuasa semakan kehakiman Mahkamah Syariah bercanggah perlembagaan

0
2
https://politikcermai.blogspot.com/2021/01/ketua-hakim-negaratun-tengku-maimun.html

MAHKAMAH Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan bahawa adalah tidak berperlembagaan bagi Dewan Undangan Negeri Selangor untuk memberikan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel sembilan hakim, berkata Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan dan terbatal dalam bentuk semasa.

“Saya dapati Seksyen S66A enakmen tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal. Ini kerana ia merupakan satu peruntukan berlandaskan DUN yang tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Justeru, beliau berkata, notis usul difailkan oleh SIS Forum Malaysia dibenarkan dan deklarasi yang dimohon diberikan.

Bagaimanapun, panel hakim tidak mengeluarkan sebarang perintah berkenaan kos kerana hal ini berkait kepentingan awam.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah negeri mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia merupakan peruntukan yang DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Oleh itu, petisyen oleh SIS Forum (Malaysia) dibenarkan tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada 22 September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here