MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.
“Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.
“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” katanya.
Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.
Siew Hong memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta, daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.
Terdahulu, media melaporkan, Siew Hong mendakwa anaknya dilarikan ketika dia mendapatkan rawatan selepas dicederakan dan didera bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.
Nagahswaran yang kini menjalani hukuman penjara akibat kesalahan berkaitan dadah dikatakan menukar agama tiga kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenarannya.
Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan akidah tiga orang kanak-kanak itu yang memeluk Islam secara sukarela walaupun masih mumaiyiz. – Malaysiapost

