Kenang jasa Muhyiddin hapus RM8.3 bilion hutang peneroka

0
1

ANTARA sumbangan terbesar Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri adalah melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tahun lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata keputusan diambil kerajaan Persekutuan pimpinan Presiden Bersatu itu adalah bagi meringankan beban peneroka.

Katanya, semasa Barisan Nasional (BN) memerintah negara, perkara tersebut tidak terfikir dan tidak mampu dilakukan malah sehingga gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita kena beritahu semasa Felda di bawah pemerintahan Umno dan BN dulu, mereka terpaksa tanggung hutang yang amat tinggi.

“Semasa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dimansuhkan hutang warga FELDA bernilai ratusan ribu ringgit untuk setiap keluarga.

“Ini jasa-jasa yang ditinggalkan kerajaan semasa dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Johor, malam tadi.

Pada 7 Julai 2021, Muhyiddin semasa menjadi menjadi Perdana Menteri mengumumkan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Wan Saiful berkata, jasa Muhyiddin itu perlu diketahui rakyat Johor terutama warga Felda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sementara itu, dalam ceramah sama, Wan Saiful berkata, PRN Johor merupakan medan untuk rakyat menolak kebangkitan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana Umno dan BN menyalahgunakan sistem demokrasi dengan mengadakan PRN kerana semata-mata mahu melindungi salah laku pemimpin mereka.

“Ini adalah PRN yang dipaksakan Umno dan BN ke atas Bangsa Johor, ini bukan PRN yang dikehendaki orang Johor.

“PRN Johor ini diadakan kerana ada pemimpin Umno yang terdesak, kalau tidak ada kuasa yang boleh disalahgunakan, ada pemimpin mereka yang akan masuk penjara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here