KPM cadang murid sekolah agama dibenar guna pakaian sekolah kebangsaan

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membenarkan murid-murid menggunakan pakaian sekolah kebangsaan ke sekolah agama.

Menurut Menterinya, Datuk Dr Radzi Md Jidin ia antara langkah diambil kementeriannya dalam usaha menyelesaikan isu beg sekolah berat dalam kalangan murid.

“Ini boleh mengurangkan (isu) beg berat anak-anak,” katanya selepas pelancaran Sekolahku Sejahtera di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, Radzi berkata antara turut diberi perhatian adalah jumlah mata pelajaran yang diajar terlalu banyak pada setiap hari.

“Untuk sekolah rendah adakalanya sehingga tujuh mata pelajaran sehari namun bagi sekolah yang mengajar tiga atau empat mata pelajaran sehari, kita dapat lihat berat beg lebih ringan,” katanya.

Menurutnya, KPM juga sedang meneliti untuk melihat kekangan dalam konteks guru berdasarkan opsyen mata pelajaran.

“Kita tidak boleh suka-suka keluarkan arahan untuk terus kurangkan kepada tiga (mata pelajaran) dan ini sedang diteliti satu persatu,” katanya lagi.

Sebelum ini, isu beg sekolah berat yang berlanjutan sekian lama kembali menjadi bualan hangat selepas ada murid dilapor mengalami bengkok tulang belakang akibat rutin menggalas beban beg berat setiap hari.

Dalam masa sama, Radzi berkata, turut diteliti adalah penggunaan lokar bagi sekolah dua sesi.

“Jika ambil kira keseluruhan bilangan sekolah rendah, kosnya amat besar,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan agar murid tidak diberi pinjaman buku teks, beliau berkata buku teks boleh diletakkan di sekolah namun pelajar masih memerlukannya untuk mengulangkaji pelajaran.

“Kita juga melihat ada sesetengah buku teks jilidnya masih tebal, jadi antara pendekatan adalah sama ada kita boleh ditambah jilid dan Nurin boleh membawa buku lebih nipis,” katanya.

Ujarnya, penyelesaian berhubung isu tersebut akan dicapai secepat mungkin.

“Kementerian sedang membuat kerangka yang menyeluruh dan akan diselesaikan cepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here