Najib minta penjelasan Tommy, kenapa kurangkan tuduhan terhadap anak taikun? 

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta penjelasan lanjut berkenaan tuduhan seorang anak ahli perniagaan terkenal yang dikurangkan hukuman setelah disyaki menanam berpuluh batang pokok ganja, tiga tahun lalu. 

Menurutnya, beliau meminta bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri memberi penjelasan berkenaan perkara itu. 

“Semalam saya tanya Tun Mahathir berkenaan komen beliau berhubung isu hangat mengenai kes anak taikun yang disyaki menanam berpuluh pokok ganja digugurkan ataupun dikurangkan tuduhan dadah tapi Tun tidak menjawab. 

“Thomas telah membalas secara rasmi bahawa dia tidak mengaku menerima suapan untuk gugurkan kes tetapi dia mengesahkan dia cuma kurangkan tuduhan terhadap anak taikun tersebut. 

“Hari ini saya tanya lagi Dr Mahathir, Tommy Thomas dan juga Peguam Negara hari ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Najib berkata, maklumat berkenaan tuduhan yang dikurangkan perlu dinyatakan kepada umum. 

“Kenapa tuduhan dikurangkan seperti diakui Tommy dan tuduhan tersebut telah dikurangkan dari seksyen apa ke sekysen mana? Apa telah terjadi bagi kes tahun 2019 ini?,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan itu menyifatkan pertuduhan ke atas anak taikun tersebut adalah ‘dua darjat’ kerana diberi keistimewaan berbanding orang biasa. 

Katanya, siasatan lanjut perlu dilakukan sama ada berlaku salah guna kuasa ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan  (PH) dan Perikatan Nasional (PH). 

“Apa hukuman dikenakan ke atas anak taikun berkenaan setelah tuduhan dikurangkan oleh Tommy sedangkan orang biasa yang juga didapati menanam 16 ataupun 20 pokok ganja dihukum penjara seumur hidup atau menghadapi tali gantung? 

“Adakah kerajaan hari ini patut siasat sekiranya wujudnya salah guna kuasa ketika pentadbiran kerajaan PH dan PN masa itu?,” katanya. 

Pada 19 Febuari lalu, Tommy menafikan beliau menutup kes pertuduhan dadah melibatkan anak seorang ahli perniagaan terkenal sebelum ini.  

Menerusi satu kenyataan, Tommy menjelaskan beliau hanya mengurangkan dakwaan dikenakan terhadap anak Tan Sri Vincent Tan selepas pasukan peguam bela mengemukakan representasi bertulis agar dipertimbang semula keputusan pertuduhan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here