AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan beliau telah mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama malam tadi.
Bekas menteri itu berkata peletakan jawatannya dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).
Beliau juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli Majlis Syura Ulama berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5).
Menurutnya, perkara itu diumumkannya ketika dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS secara hibrid.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS yang memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama sejak 2013 seterusnya Setiausaha sejak 15 Disember 2020.
“Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Hj Hashim Jasin dan semua Ahli Majlis Syura Ulama yang telah bertindak selaras Perlembagaan PAS untuk mengelak sebarang krisis perlembagaan parti.
“Saya terus istiqamah menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen PAS dan juga tugasan-tugasan lain dalam parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 11 Februari lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura PAS.
Abdul Hadi berkata, jawatan itu terbatal kerana Jawatankuasa Pusat Pas membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Syura.
“Nak jadi setiausaha Majlis Syura kena jadi Ahli Majlis Syura. Maka gugurlah (keanggotaannya) daripada Majlis Syura dan (jawatan sebagai) setiausaha Majlis Syura,” kata Hadi. – Malaysiapost

