191 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi Covid-19 – Noor Hisham

0
2
dr noor hisham

SEBANYAK 191 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan sejak virus maut tersebut melanda negara dua tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua kematian membabitkan ibu hamil tersebut berlaku pada tahun 2021.

“Sejumlah 18,277 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari 2022,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada tahun ini sehingga 15 Febuari lalu, tiada kes kematian dalam kalangan ibu hamil disebabkan dari jangkitan Covid-19.

“Sebanyak 79 peratus daripada kes kematian (ibu hamil) tidak menerima vaksin Covid-19 dan 83 peratus kes kematian mempunyai comorbidtie (komobid),” katanya lagi.

Berdasarkan data dikongsinya, kes kematian ibu hamil disebabkan Covid-19 mencatatkan bilangan tertinggi pada Ogos 2021 iaitu sebanyak 77 kes, manakala pada September 2021 (44 kes), dan Julai 2021 (31 kes).

Dalam pada itu, beliau berkata liputan vaksinasi yang tinggi pada golongan berumur 18 tahun ke atas iaitu sebanyak 94.7 peratus telah dicapai pada Oktober tahun lalu.

Katanya, peratusan tersebut telah menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19.

Semalam, Malaysia mencatatkan 37 kematian baharu akibat Covid-19, di mana 19 daripadanya berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu adalah 32,347 sejak virus tersebut melanda negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here