PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemimpin DAP, P Ramasamy yang didakwa cuba mempertikaikan status agama tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong di Perlis.
Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata tindakan berbaur provokatif itu bukan sahaja cuba mempertikai peranan serta bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri Perlis, malah boleh mengancam keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.
Selain itu, katanya dakwaan Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang bahawa pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut adalah amat bahaya dan berniat jahat.
“Justeru, PAS menggesa semua pihak agar menghormati badan kehakiman dan pihak berkuasa undang-undang, serta meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikan isu ini.
“PAS juga menggesa pihak berkuasa supaya sentiasa memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja menimbulkan isu-isu agama dan perkauman di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Baru-baru ini Malaysiapost melaporkan, pemimpin-pemimpin DAP diingatkan agar tidak membangkitkan isu perkauman dan agama berhubung kes tiga anak Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis.
Peringatan itu dibuat Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin khususnya kepada Ramasamy yang mendakwa kes berkenaan membabitkan penculikan dan paksaan untuk memeluk Islam oleh pihak berkuasa agama Perlis.
Susulan itu Ramasamy menjelaskan beliau tidak membangkitkan isu agama berhubung kes tiga anak Siew Hong, sebaliknya apa yang dibangkitkan adalah isu penukaran agama kanak-kanak yang menyalahi undang-undang. – Malaysiapost

