PKR dilihat seolah-olah kembali membuka pintu kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan syarat parti itu menyelesaikan masalah rundingan pengagihan kerusi.
Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tiada masalah untuk membantu kemenangan calon MUDA sama seperti tanggungjawabnya memenangkan rakan komponen Pakatan Harapan (PH), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Sekiranya MUDA ikut semangat manifesto sama (PH) dan selesai masalah rundingan seperti dilakukan sebelum ini, saya tiada masalah untuk pastikan calon-calon MUDA juga turut menang dalam pilihan raya ini.
“Kita tunggu respon mereka dan saya positif kerana tanpa semangat begini kita mudah diperalat orang lain,” katanya berucap pada majlis pelancaran jentera PKR PRN Johor yang disiarkan di Facebook malam ini.
Sebelum ini, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dilaporkan berkata pihaknya sudah menutup segala rundingan dengan MUDA dalam soal pembahagian kerusi.
Jumaat lalu, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan antara pihaknya dengan PKR gagal mencapai kata sepakat, selain membayangkan kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan PKR.
Terdahulu, hasil rundingan dengan DAP dan Amanah, MUDA telah diberikan laluan untuk bertanding di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor. – Malaysiapost

