BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mempunyai hak kembali dalam parti termasuk bertanding jawatan timbalan presiden seperti diuar-uarkan kebelakangan ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata ini kerana bekas ahli Parlimen Pandan itu masih ahli parti.
“Kita alu-alukan penyertaan dan rangkul semua,” kata Anwar pada sidang media selepas majlis memperingati Demonstrasi Baling dan Kebangkitan Rakyat 1974 di Baling, Kedah hari ini.
Sidang media itu disiarkan secara langsung di Facebook ketua pembangkang terbabit.
Khabar angin Rafizi akan membuat kemunculan semula dalam arena politik dan PKR bertiup kencang apabila ada segelintir ahli parti itu mendesak beliau kembali aktif.
Beliau dikatakan mendapat sokongan untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR tahun ini.
Rafizi bersara daripada politik sejurus Mahkamah Tinggi membebaskannya terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 15 November 2019.
Pembebasan tersebut dilakukan selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen apabila didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya.
Selepas dibebaskan, beliau mengumumkan tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau menyandang sebarang jawatan penting. – Malaysiapost

