BERSATU menafikan dakwaan ada ahli parti itu yang menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti seperti didedahkan bekas pemimpinnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dakwaan Mukhriz yang kini Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sekadar tuduhan politik, lapor Utusan Malaysia.
Menurutnya, jika dakwaan itu benar Mukhriz yang pernah menjadi timbalan presiden Bersatu seharusnya mengambil tindakan sebelum pemilihan parti.
“Jadi, kalau tak ada tindakan, maka, tak adalah berlaku. Saya fikir beliau sebagai Timbalan Presiden kami pada ketika itu, tentunya akan mengambil tindakan tegas jika perkara sebegitu berlaku
“Dakwaan beliau mungkin sekadar dakwaan politik,” katanya.
Ahmad Faizal mengulas dakwaan Mukhriz yang mendedahkan ada ahli Bersatu menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti tersebut sehingga menimbulkan masalah termasuk melantik pemimpin yang tidak ada pengalaman.
Tindakan itu, dakwa Mukhriz berlaku sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menyebabkan lembaga disiplin parti tersebut ‘sangat sibuk’ kerana terpaksa menumpukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Beliau menjelaskan, penipuan tarikh pendaftaran keahlian dalam kalangan ahli Bersatu itu dilakukan susulan perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana individu yang mahu bertanding sebarang pemilihan dalaman parti, haruslah mempunyai rekod keahlian lebih satu tahun. – Malaysiapost

