Kelantan tidak pernah dianaktirikan jadi tuan rumah SUKMA – KJ

0
2

KELANTAN tidak pernah dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) seperti dakwaan yang digambarkan oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahaman di TikTok semalam.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ketika beliau menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur temasya berkenaan.

Menurutnya, tawaran itu dibuat melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.

“Saya merujuk kepada sebahagian kenyataan dalam hantaran TikTok Syed Saddiq semalam yang antaranya mendakwa beliau ‘mengembalikan semula hak penganjuran’ temasya SUKMA kepada negeri Kelantan.

“Ia seolah-olah menteri-menteri sebelumnya menafikan hak negeri tersebut,” kata Menteri Kesihatan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas SUKMA Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan SUKMA adalah pilihan.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan.

“Malahan semasa keputusan SUKMA 2018 kepada Perak dan SUKMA 2020 kepada Johor, turut mengalu-alukan agar Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA 2022, supaya SUKMA ini dapat dibawa kepada rakyat negeri Kelantan.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa Kelantan tidak pernah sesekali dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur SUKMA seperti dakwaan yang dibuat,” katanya.

Khairy menegaskan tiada satu negeri yang dianaktirikan sewaktu beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam apa-apa hal sekalipun.

“Pemilihan ini dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dianggotai oleh 14 Exco Belia dan Sukan Negeri dan tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih,” katanya.

Terdahulu Syed Saddiq mendakwa ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia hak penganjuran SUKMA dikembalikan semula kepada Kelantan dengan peruntukan lebih RM200 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here