Muhyiddin sanggup manipulasi hukum agama – Ahmad Zahid

0
2
Sidang media penutup Perhimpunan Agung UMNO 2020

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi agenda politiknya termasuk mereka-reka dalil palsu seperti meninggalkan Umno adalah satu ibadah, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Muhyiddin sanggup memanipulasi hukum agama mengikut selera politiknya.

“Maka memang wajarlah nasihat saya sebelum ini janganlah ada pihak memanipulasi hukum agama mengikut selera politik.

“Agama tidak boleh dipisahkan daripada politik, tetapi mereka-reka dalil palsu untuk agenda politik apakah hukumnya?” soalnya di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai ucapan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ketika Majlis Pelancaran PN Negeri Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, kelmarin.

Muhyiddin berkata meninggalkan Umno dan menyertai PN adalah harus dan mungkin boleh jadi hukumnya sunat serta dapat pahala, kerana hijrah meninggalkan yang mungkar dan menyertai mereka yang menegakkan kebenaran adalah satu ibadah.

Ahmad Zahid berkata, apa yang diperkatakan Ahli Parlimen Pagoh itu adalah dalil rekaan seterusnya selepas mengeluarkan dalil Pas parti ajaran sesat.

“Selepas ‘hijack’ Muafakat Nasional (MN) dan mengumpan pimpinan Pas kini membuat dalil meninggalkan Umno suatu ibadah. Mungkin terlalu tertekan sehingga terlupa jawatannya dibawah kerajaan yang dibentuk bersama beberapa Ahli Parlimen Umno.

“Barangkali beliau terlupa untuk melakukan ibadah yang beliau dalilkan dengan meninggalkan jawatannya. Atau sebenarnya beliau lebih takut akan tertekan butang berbanding menunaikan ibadahnya itu,” sindirnya.

Beliau menegaskan BN berpolitik tentang dasar, polisi dan hala tuju terbaik untuk negara demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Insya-Allah kita yakin umat Islam Malaysia khususnya di Johor tidak akan terpengaruh dengan dalil beliau.

“Kita terus terus hidup sentosa sesama kita meskipun berbeza ideologi politik. Kita tolak fahaman pelampau politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here