MUDA tidak perlu ugut PKR

0
2

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak perlu mempamerkan tindakan berbaur ugutan kepada PKR kerana parti itu telah diberi laluan untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman, berkata umum mengetahui PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA untuk dipertimbangkan sementara enam lagi telah dipersetujui bersama DAP dan Amanah.

“Justeru, saya berpandangan MUDA perlu bermuhasabah diri dengan memperhalusi semula tawaran yang telah dikemukakan secara berhemah untuk mengelakkan pertindihan dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Badli berkata, MUDA perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan sebarang tindakannya untuk menentang PKR adalah ibarat parti itu bersedia menamatkan kerjasama dengan PH.

“Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu mempamerkan langkah berbaur ugutan kepada usaha rundingan dengan PKR.

“Tindakan tidak matang dengan mengugut untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi PKR bermaksud MUDA telah bersedia untuk menamatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Perlu diingat bahawa Pakatan Harapan bergerak dalam satu koalisi gabungan secara bersama. Menolak PKR bererti MUDA menolak Pakatan Harapan,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Badli menegaskan, PH patut menilai semula kerjasama dengan MUDA sekiranya parti itu berkeras meletakkan calonnya bertanding di DUN yang ditandingi PKR.

“Sekiranya Muda berhasrat untuk melanggar kerusi-kerusi PKR, maka wajarlah Pakatan Harapan menarik balik kerusi-kerusi yang telah dipersetujui dengan Parti Muda,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq mengakui kemungkinan calon partinya bertembung calon PKR pada PRN Johor nanti.

Ini berikutan, rundingan antara MUDA dan PKR masih menemui jalan buntu dalam pembahagian kerusi DUN sekali gus mengelak berlakunya pertindihan calon pembangkang pada setiap DUN yang ditandingi.

Sebelum ini, MUDA mencapai kata sepakat dan diberi laluan oleh DAP dan Amanah untuk bertanding di enam kerusi DUN pada PRN Johor. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here