PKR mengesahkan menutup rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkaitan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata MUDA telah menolak tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR kepada parti terbabit.
“Ia turut menjadi sulit apabila kerusi yang dituntut (MUDA) merupakan kerusi bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR.
“Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan. Sebagai anggota komponen Pakatan Harapan (PH), PKR tetap berpegang kepada muafakat bersama rakan-rakan yang menekankan kesetiakawanan tanpa ugutan atau ancaman,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, semangat kesetiakawanan dalam PH tidak dicemari hanya kerana tuntutan.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim menggesa pembangkang memberi tumpuan kepada kerusi yang ditandingi untuk membela rakyat dan membawa masa depan serta maruah Johor dan rakyatnya.
Terdahulu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman mengakui rundingan parti itu dengan PKR masih buntu dan kemungkinan besar pertindihan kerusi antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, pihaknya pasrah dan menyerahkan kepada pengundi Johor untuk menentukannya jika berlaku pertembungan melibatkan MUDA dan PKR di beberapa kerusi. – Malaysiapost

