Anak pemandu Myvi mohon netizen henti caci ibu, sebar gambar insiden

0
2

“SAYA mohon jasa baik semua untuk menghentikan tular ini. Kami sekeluarga berusaha untuk memberi semangat kepada ibu,” kata Syafiq Sidek, 30.

Syafiq adalah anak kepada wanita yang memandu Myvi hingga terbabas ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Negeri Sembilan, semalam.

Syafiq berkata, dia meminta supaya netizen berhenti menularkan gambar kejadian dan mencaci ibunya.

Jelasnya, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam, bagi meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat hantaran di Facebook yang berunsurkan fitnah dan makian itu.

“Ibu masih dalam keadaan trauma dan bersedih kerana baru saja kehilangan suami akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu. Arwah dikebumikan di lokasi kejadian.

“Saya mohon jasa baik semua untuk menghentikan tular ini. Kami sekeluarga berusaha untuk memberi semangat kepada ibu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Syafiq berkata, dia sekeluarga bagaimanapun ikhlas memaafkan individu yang mencaci ibunya di laman Facebook sebelum ini kerana menganggap mereka tidak mengetahui punca kejadian.

“Kami sudah lalui saat yang perit dan sukar sebelum ini jadi tidak mahu orang lain rasa apa yang kami rasa. Cukup kami sekeluarga sahaja yang menanggungnya.

“Bagaimanapun, jika masih ada pihak (portal berita/ laman sosial) yang masih menyebarkan fitnah, kami akan teruskan siasatan menerusi SKMM terhadap pihak berkenaan.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada media dan pihak polis kerana memberikan laporan yang betul bagi menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Semalam, tular kejadian sebuah kenderaan Perodua Myvi merempuh masuk ke dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang semalam, kerana pemandunya pitam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here