Ahmad Maslan tarik balik rayuan untuk batal pertuduhan

0
2

DATUK Seri Ahmad Maslan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya untuk dibebas dari tuduhan gagal isytihar RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Atiqa Nazihah Azmi yang mewakili Ahmad, 54, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihaknya memfailkan notis penarikan balik rayuan, 3 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan pihaknya telah menerima notis penarikan balik rayuan berkenaan dan tidak membantah permohonan itu.

Memetik laporan Bernama, Muhammad Jamil kemudian membatalkan rayuan Ahmad.

Atiqa Nazihah berkata, penarikan balik rayuan dibuat berikutan pihaknya sebelum ini telah memfail permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu di Mahkamah Tinggi, yang kemudian didengar serta diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Pada 14 Ogos lalu, Aslam menolak permohonan Ahmad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 24 Julai lalu, yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan itu, selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan bekas timbalan menteri kewangan itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melapor pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta, diterima daripada Najib kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Ahmad didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat, Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost