Keputusan Presiden Umno langkah bijak – Isham Jalil

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

KEPUTUSAN Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menghalang Ahli Parlimen Umno untuk menyokong sesiapa, dilihat langkah adalah ke arah pembubaran Parlimen.

Ia sekali gus, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh jadi Perdana Menteri secara automatik, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan Zahid itu bukan bermakna beliau atau Umno menyokong pembentukan kerajaan baru dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sebab jika Ahli-ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan daripada kerajaan atau menjadi berkecuali, maka Anwar masih tidak boleh jadi Perdana Menteri secara automatik.

“Ini kerana besar kemungkinan Parlimen akan dibubar untuk pilihan raya yang baru.

“Oleh itu keputusan Presiden Umno semalam adalah langkah bijak dan betul ke arah pembubaran Parlimen dan pilihan raya yang baru secepat mungkin.

“Ini untuk mengakhiri ketidakstabilan politik dan ekonomi yang kita hadapi sekarang demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Isham berkata pengumuman Anwar semalam dan reaksi rakyat dan pasaran terhadapnya adalah simptom menunjukkan hakikat kerajaan hari ini tidak stabil dan boleh jatuh pada bila-bila masa.

“Selagi ini berlaku maka kerajaan mungkin akan bertukar tangan setiap enam bulan dan ketidakstabilan politik akan berterusan.

“Sesiapa pun yang jadi kerajaan dalam situasi ini tidak dapat menumpu perhatian kepada pemulihan ekonomi dan ia akan menjejaskan lagi keadaan hidup rakyat,” katanya.

Berikutan itu, Isham berkata, beliau sebelum ini mencadangkan Parlimen dibubarkan untuk menyerahkan mandat semula kepada rakyat melalui pilihan raya supaya kerajaan baru lebih stabil dapat dibentuk.

“Jika keputusan pilihan raya ini sama iaitu 50:50 seperti sekarang sekali pun, sekurang-kurangnya rakyat berpuas hati kerana mereka sendiri memilih kerajaan baru dengan dasar-dasar yang diberi mandat oleh mereka,” katanya. – Malaysiapost