PELAWAK Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau lebih dikenali dengan Ali Puteh mengakui sedih mengenangkan arwah Abam dan ibunya selepas mendengar keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini yang memihak kepada kakak iparnya.
“Sedikit sebanyak saya rasa sedih juga sebab hanya yang tinggal saya. Jika emak dan abang ada tidak jadi begini,” katanya.
Ali, 33, berkata pihaknya akan membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi selepas beberapa fakta yang dikemukakan hari ini tidak tepat.
Bagaimanapun, katanya, dia akur dengan keputusan mahkamah dan mempunyai 14 hari untuk mengemukakan rayuan tersebut.
“Saya akur dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah. Tetapi saya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi kerana ada beberapa fakta yang tidak betul.
“Fakta (yang tidak betul) itu saya tidak boleh beri tahu kerana boleh mengganggu proses di Mahkamah Tinggi.
“Keputusan hari ini memihak kepada puan Hidayah tetapi saya diberi 14 hari untuk rayuan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ali berkata, dia terpanggil untuk menjelaskan perkara sebenar bahawa pihaknya yang mula menerima saman daripada kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali.
Katanya, selepas 15 hari pemergian arwah Abam, dia menerima saman daripada Nor Hidayah.
“Saya nak betulkan beberapa fakta di mana saya yang menyaman. Masyarakat dan netizen berkata saya yang menyaman. Sebenarnya yang memulakan saman bukan saya.
“Saman ini bermula 15 hari selepas arwah Abam meninggal. Saya dituntut ganti rugi am sebanyak RM900,000 semasa itu. Jadi dalam keadaan itu, saya mencari peguam untuk urusan saman balas. Netizen kata saya pula yang menyaman,” jelasnya.
Menyentuh mengenai hubungan dengan anak lelaki tunggal arwah, Ali mendakwa tidak diberi peluang untuk menghubungi anak saudaranya itu selepas pemergian Abam.
Jelas Ali, dia tidak mahu menceritakan lebih lanjut berkenaan isu itu kerana melibatkan aib keluarga namun mengakui adalah tanggungjawabnya sebagai bapa saudara untuk mengambil tahu mengenai anak arwah Abam.
“Tetapi kita tidak diberi peluang untuk berhubung dengan anak saudara. Macam mana saya nak berhubung, arwah Abam punya Instagram pun saya tidak boleh buka, apatah lagi anak arwah Abam.
“Sedikit sebanyak itu menjadi tanggungjawab saya. Saya tidak mahu jika saya pergi jumpa anak arwah, akan jadi point kita serbu atau datang sesuka hati. Jadi saya hanya dapat memerhati daripada jauh,” katanya lagi.
Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan mengumumkan keputusan kes saman fitnah terhadap Ali Puteh berpihak kepada Nor Hidayah.
Sehubungan itu Ali diperintahkan membayar ganti rugi kepada Nor Hidayah sebanyak RM60,000.
Menurut peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Nor Hidayah, pada prosiding itu juga hakim membuat keputusan menolak tuntutan dibuat keluarga Allahyarham Abam dengan kos.
Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.
Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun. – Malaysiapost

