Ebit Lew didakwa di mahkamah, berdepan 11 pertuduhan

0
2
Ebit Lew

PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew hari ini dihadapkan ke Mahkamah Tenom di Sabah, dipercayai bagi berdepan 11 pertuduhan termasuk berkaitan gangguan seksual. 

Harian Metro melaporkan, Ebit, 37, tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, kira-kira jam 9 pagi tadi dengan menaiki sebuah Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu lain.

Akhbar itu turut melaporkan pekarangan Pejabat Daerah Tenom dikawal polis sejak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan akan membuat sidang media berhubung kes itu selepas selesai proses pertuduhan.

Ebit ketika berada di Sabah untuk menjalankan kerja-kerja amal dan kemanusiaan.

Pada Julai tahun lalu, siasatan terhadap Ebit dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ebit dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober lalu, dan beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

Pada 30 Disember lalu, Abd Jalil dalam satu laporan media dipetik berkata, kertas siasatan membabitkan pendakwah itu sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa sama beliau meminta saksi atau mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya tampil membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here