Berhenti politikkan Covid-19 – Guan Eng

0
3

KERAJAAN perlu berhenti mempolitikkan isu Covid-19 sebaliknya mengikuti contoh negara lain yang membenarkan normalisasi kehidupan awam dan aktiviti komersial menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil serius tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 dengan memanggil mesyuarat berhubung isu peningkatan kes tersebut.

“Malaysia mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi dalam sehari sejak pandemik bermula dengan 27,831 kes semalam berbanding kes tertinggi sebelum ini pada 26 Ogos tahun lepas iaitu 24,599 kes. 

“Kes kumulatif kini berjumlah 3,111,514 dan dengan 21 kematian semalam menjadikan angka kematian mencecah 32,180,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, ketidakcekapan yang ketara pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menandakan kegagalan berterusan dalam menguruskan wabak Covid-19.

“Siri kegagalan ini berulang, yang terdiri daripada pusingan-U SOP, dasar yang berubah-ubah, amalan dua darjat dalam kedua-dua penguatkuasaan dan pematuhan antara VIP dan rakyat serta pemimpin yang tidak komited terhadap tugas mereka.

“Menteri Pertahanan (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Bear Johor (Datuk Dr) Hasni Mohammad dan Presiden MIC  (Tan Sri) S Vigneswaran juga telah ditangkap bergaul rapat dengan sekumpulan ahli politik pada acara MIC di Johor yang melanggar SOP Covid-19 secara terang-terangan. 

“Sebagai Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, Hishamuddin telah berubah daripada seorang penggubal undang-undang menjadi pelanggar undang-undang,” katanya.

Jelas Guan Eng, jika gelombang baharu pandemik Covid-19 adalah bahaya ketika ini, tidak ada sebab mengapa tidak memanggil mesyuarat untuk jawatankuasa tertinggi Covid-19.

Sementara itu, Guan Eng berkata, orang ramai mesti menerima, menyesuaikan diri dan tidak takut untuk hidup bersama dengan Covid-19 seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara jiran.

“Kehidupan kita tidak boleh dikekang sehingga kehidupan dan mata pencarian kita terganggu oleh pandemik virus yang secara beransur-ansur menjadi endemik seperti selesema biasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here