Australia sambung pencarian MH370

0
2

PASUKAN penyiasat Australia memperbaharui misi pencarian kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines, selepas seorang jurutera aeroangkasa, Richard Godfrey mendedahkan laporan yang mendakwa sudah mengenalpasti lokasi sebenar keberadaan pesawat itu.

Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Angus Mitchell, berharap ‘misteri terbesar masih belum terungkai sehingga kini’ itu dapat diselesaikan susulan dakwaan Godfrey.

“Kami akan menyemak semua data lama, mencari apa-apa maklumat yang mungkin terlepas.

“Oleh kerana ia (laporan) mendakwa pesawat di kawasan yang sudah kami cari, kami sedang menyemak data yang kami peroleh di sana dan usaha itu sedang dijalankan dengan kerjasama Geosains Australia,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Richard sebelum ini mendakwa teknologi radio yang digariskan dalam laporannya, iaitu Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) boleh digunakan untuk mengesan dan menjejaki pesawat dengan tepat.

Beliau percaya MH370 terhempas ke laut pada kedudukan sejauh 1,933 kilometer (km) dari barat Perth dan berada 4,000 meter (m) di bawah air.

Mengulas lanjut, Mitchell berkata, penyelidikan terperinci dilakukan Godfrey boleh dipercayai dengan matlamat utamanya adalah untuk mengakhiri penantian keluarga mangsa pesawat MH370.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Serpihan pesawat itu masih gagal ditemui walaupun usaha antarabangsa untuk mengesannya sejak empat tahun lalu giat dijalankan dengan kos AS$200 juta (RM837.47 juta) membabitkan 120,000 meter persegi, sekali gus mencetuskan misteri berterusan. 

Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan menyatakan kesediaan memulakan sebarang perbincangan bagi meneruskan pencarian semula pesawat MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac 2014 lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia meneruskan kerjasama triparte dengan kerajaan Australia dan China untuk menjejaki lokasi kehilangan pesawat yang dinaiki 239 penumpang termasuk kru kabin pada tujuh tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here