PARTI Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menafikan pemberian wang imbuhan kepada pengundi di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri ,(DUN) Merotai seperti tular di media sosial hari ini.
Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan mesej yang tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp tersebut palsu.
“Perbuatan ini adalah taktik politik kotor dan harus dielakkan. Rakyat hari ini semakin celik dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit dan material semata-mata.
“Saya sama sekali tidak akan membeli rakyat dengan wang ringgit dan harta benda semata-mata mahu pertaruhkan masa depan dengan kemewahan sementara,” katanya.
Mesej yang tular sejak malam tadi itu antara lain menyebut: “Tan Sri Liew esok (hari ini) akan mula bagi habuan untuk mengundi. Satu pengundi RM300.”
Turut dinyatakan nama individu di beberapa kawasan pusat daerah mengundi (PDM) sekitar DUN Merotai yang dikaitkan dengan pemberian wang imbuhan berkenaan.
Yun Fah yang pernah menyandang kerusi DUN Merotai pada Pilihan Raya Umum 2004, sekali lagi bertanding di kawasan sama namum atas tiket Harapan Rakyat yang baru diterajuinya.
Kerusi DUN Merotai menyaksikan pertandingan enam penjuru yang turut membabitkan calon Parti Warisan Sabah, Perikantan Nasional; Parti Cinta Sabah, USNO dan LDP. – Malaysiapost


