Kerajaan bina pencawang baru, tingkat akses internet di Ulu Kemalih 

0
2

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina sebuah menara komunikasi baharu di kawasan rumah panjang Suin, Ulu Kemalih, Pakan, Sarawak. 

Menerusi kenyataan MCMC hari ini, untuk langkah jangka masa panjang, sebuah menara baharu telah dirancang dibina dan kini berada pada peringkat tender oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk memberikan liputan 4G di kawasan tersebut. 

“Pihak MCMC akan bekerjasama dengan SMA (Lembaga Multimedia Sarawak) untuk mengenal pasti kaedah capaian yang lebih sesuai bagi memastikan tahap kualiti pengalaman (Quality of Experience) yang lebih baik ke atas perkhidmatan Internet Wifi SALURAN sedia ada di rumah panjang Suin,” katanya. 

Terdahulu, kisah seorang pelajar dari Pakan yang terpaksa mendaki bukit semata-mata untuk mengikuti sesi temu ramah bagi kemasukan ke sebuah universiti tempatan akibat masalah capaian Internet di rumah panjang mendapat perhatian MCMC. 

“MCMC mengambil maklum dan bersimpati dengan kesusahan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan. 

“Berdasarkan maklumat yang diterima, perkhidmatan Internet Wifi sedia ada di rumah panjang Suin, Ulu Kemalih, Pakan adalah di bawah projek Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN Wifi) yang merupakan inisiatif daripada pihak kerajaan negeri melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“SALURAN Wifi adalah perkhidmatan Internet yang menggunakan teknologi satelit dan mampu memberikan purata kelajuan sehingga 25Mbps,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut melahirkan rasa simpati terhadap situasi yang dihadapi pelajar berkenaan.

Menerusi ciapan di Twitter, Annuar berkata, pihaknya telah mengarahkan MCMC untuk segera menangani masalah tersebut. 

“Saya amat bersimpati dengan apa yang beliau harus lalui, namun kagum dengan ketabahan beliau. Rangkaian internet tersebut adalah di bawah seliaan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN). 

“Saya telah mengarahkan MCMC untuk berhubung dengan SRBN supaya masalah ini dapat ditangani,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here