Di sebalik majoriti Anwar, Muhyiddin tenang kempen di Sabah

0
2

Aiman Hanif

DI SEBALIK pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus “tenang” berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Selepas membuat pengumuman khas petang  semalam dan menegaskan yang beliau masih Perdana Menteri yang sah, malam tadi beliau berada di Sabah berkempen bagi calon Perikatan Nasional (PN).

Sebelah petang semalam, ketika menyampaikan perutusan khas, Muhyiddin dilihat warganet agak kepenatan.

Bagaimanapun malam tadi ketika berkempen di Kota Kinabalu beliau dilihat begitu bersemangat.

Pagi ini, beliau menyambung kempen bagi calon PN pada Majlis Ramah Mesra di Beluran, Sabah.

Ketika berucap Muhyiddin meminta rakyat Sabah supaya menyokong parti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan PN pimpinannya adalah gabungan politik besar yang boleh memberi kekuatan kepada rakyat.

Muhyiddin menegaskan kerajaan pimpinannya adalah kerajaan prihatin yang memikirkan nasib rakyat.

Semalam, Presiden PKR mengumumkan yang beliau memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Dalam pengumumannya itu Anwar turut memaklumkan yang kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah tumbang.

Parti gabungan membentuk kerajaan PN menegaskan yang mereka tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak boleh menghalang jika wakil rakyat parti itu menyokong Anwar.- Malaysiapost