POLIS mengingatkan orang ramai terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), susulan lonjakan kes Covid-19 yang menyaksikan jangkitan harian mencatatkan angka tertinggi iaitu hampir 28,000 kes semalam.
Sehubungan itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menasihatkan pengunjung dan peniaga pasar sentiasa peka dan mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa.
“Hari ini saya luangkan masa melawat penduduk terutama pengunjung dan peniaga di pasar pagi. Selain itu, turut dilakukan pemantauan SOP berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak minggu lalu.
“Kita lihat mereka yang berkunjung ke sini mematuhi SOP dengan baik dan dari kadar jenayah di kawasan amat rendah,” katanya selepas mengadakan lawatan mesra di pasar pagi Taman Kok Doh, Segambut hari ini.
Terdahulu Eng Lai meluangkan masa kira-kira 30 minit menyampaikan limau mandarin kepada para pengunjung dan peniaga. – Malaysiapost

