Aset KWSP mencecah RM1 trilion, tuntutan RM10,000 wajar dipenuhi – Asyraf Wajdi

0
3

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berpendapat tuntutan rakyat bagi pengeluaran terakhir RM10,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini wajar dipenuhi susulan prestasi baik KWSP ketika ini.

Menurutnya, dengan jumlah aset KWSP yang terus berkembang mencecah RM1 trilion, dan dividen 2021 yang dianggarkan mencecah enam peratus, sewajarnya pengeluaran kali terakhir yang amat dituntut dan diharapkan oleh rakyat itu dipenuhi.

Beliau berkata, prestasi itu juga menyangkal apa yang digembar-gemburkan sebelum ini yang menggambarkan KWSP bakal terjejas akibat pengeluaran RM101 Bilion bagi tujuan i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

“Anggaran kira-kira RM25-RM30 bilion kesan pengeluaran terakhir tidak akan menjejaskan aset pelaburan KWSP sebanyak RM983 bilion.

“Malah prestasi pasaran modal dan kewangan yang baik juga pastinya mampu memberikan pulangan balik kepada dana KWSP yang dikeluarkan dalam jangka masa pendek,” katanya di Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pengeluaran kali terakhir itu juga penting bagi memenuhi keperluan mendesak rakyat yang sememangnya susah, gelisah dan amat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak akibat Pandemik.

“Bahkan ia bertepatan dengan roh dan semangat Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6) (k)(l)(m) yang menyatakan pengeluar adalah dibenarkan kepada ahli Kumpulan Wang itu yang memerlukan pembiayaan untuk menambah pendapatannya bagi maksud kelangsungan hidup,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here