Trend kematian OKT dalam tahanan membimbangkan – SUARAM

0
2

SUARA Rakyat Malaysia (SUARAM) menyifatkan trend kematian orang kena tuduh (OKT) dalam tahanan amat membimbangkan.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata kematian lelaki berusia 39 tahun di bawah jagaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak hanya kira-kira dua jam selepas ditahan, langsung tidak dapat diterima.

“Itu adalah kematian dalam tahanan kelapan bagi tahun 2022 yang diumumkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad dan merupakan satu trend yang membimbangkan.

“Sekiranya trend ini berterusan, jumlah kes kematian dalam tahanan dijangka akan mencecah lebih 50 kes dalam masa setahun.

“Jumlah ini jauh lebih banyak berbanding jumlah kematian yang direkodkan pada tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya menurut statistik Menteri Dalam Negeri (KDN) Oktober tahun lalu.

“Justeru, persoalannya adakah jumlah kematian dalam tahanan tahun ini yang dilihat meningkat secara mendadak, atau statistik zaman lampau KDN tidak tepat?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan kes kematian baharu OKT terjadi lagi, maka SUARAM menggesa polis memberi laporan susulan berkenaan beberapa perkara.

“Pertama, bagaimana OKT boleh mengalami kesesakan nafas kurang sejam selepas ditahan, dan apakah tindakan susulan selepas OKT melaporkan dia mengalami kesesakan nafas.

“Kedua polis harus memberi penjelasan tentang keadaan OKT semasa dan selepas ditahan, atau bagaimanakah dia ditahan. Sebagai contoh adakah ada pergelutan berlaku semasa penahanan.

“Selain itu, kami menuntut laporan bedah siasat diumumkan kepada masyarakat agar siasatan ini dapat dilihat sebagai telus. Sekiranya Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) benar-benar ikhlas mencegah kes kematian dalam tahanan, maka mereka perlu telus dalam urusan isu kematian dalam tahanan.

“Maklumat dan butiran yang lebih teliti seperti laporan bedah siasat, dan hasil-hasil siasatan harus dikemukakan kepada pihak umum supaya akauntabiliti dan integriti polis terpelihara,” katanya.

Tambahnya, SUARAM juga mempersoalkan jumlah inkuses yang dijalankan setakat ini dan mengapakah semua kes kematian dalam tahanan tidak mempunyai inkues secara automatik seperti termaktub di dalam Kanun Tatacara Jenayah.

“Malah KDN pula bersikap acuh tak acuh dalam menangani isu kematian dalam tahanan.

“Mengapakah tiada koordinasi antara PDRM, KDN dan Jabatan Peguam Negara dalam kerja siasatan dan tindakan susulan mengenai kematian dalam tahanan?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here