Gabungan BN malar hijau, malar segar – Ahmad Zahid

0
2
zahid hamidi

PENGUNDI muda harus dimaklumkan tentang suatu fakta penting tentang Barisan Nasional (BN) iaitu ia dibarisi parti komponen berbilang bangsa dan agama merupakan sebuah gabungan politik ‘evergreen’ atau malar hijau.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, parti berkenaan juga adalah sebuah gabungan politik demokratik yang tetap relevan, malar segar sejak 1973.

“Ia sebuah gabungan politik yang kukuh, konsisten dan mampan sejak dulu, kini dan selamanya. Sangat berbeza berbanding gabungan politik lain yang rapuh, “poser” dan penuh dengan lakonan.

“Bergabung sebelum berpecah, berpecah kemudian bergabung dan bergabung sebelum berpecah semula.

“Berubah-ubah mengikut selera dan pesona politik masing-masing tanpa mempedulikan nasib dan masa depan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata kesalasilahan BN sebagai sebuah gabungan parti politik demi rakyat untuk rakyat tidak pernah ‘terciduk’.

“Kerana itu parti “old-timer” politik Malaysia ini berjaya memancarkan kestabilan sepanjang mentadbir negara. Kestabilan dibawa kerajaan BN mendedikasikan sebuah kemakmuran dan kesejahteraan buat Malaysia.

“Pengundi muda harus difahamkan tentang ini supaya tidak terkeliru berhubung terminologi muda dalam kancah politik. Muda bukan tentang usia parti, namun dasar dan agenda yang akan memanfaatkan golongan muda mahupun lama,” katanya.

Beliau berkata, BN walau sudah berpuluh tahun wujud tidak pernah gagal atau terkhilaf untuk memahami aspirasi golongan muda dan dalam sejarah panjang perjalanan politiknya sentiasa terdiri daripada komposisi lama dan muda.

“Gabungan parti politik ini dibarisi gandingan pimpinan lama dan baharu pada setiap waktu dan tempat. Yang lama padat dengan pengalaman dan pengetahuan, yang baru segar dengan idea dan inspirasi.

“Kedua-dua bersinergi untuk mengangkat kepentingan rakyat setiap kaum, agama, gender dan peringkat umur. Sesuai dengan falsafah yang lama dihormati, yang muda disayangi, itulah BN yang memayungi aspirasi semua,” katanya.

Beliau berharap pengundi muda di Johor memahami dan mengerti realiti ini demi masa depan mereka dan keluarga mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here