PKR kesan nama pengundi ‘Deceased’ dan ‘Expired’ dalam daftar pemilih

0
2

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa hingga kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal membekalkan daftar pemilih tambahan bagi bulan Disember 2021 kepada parti-parti pembangkang.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Fuziah Salleh, berkata SPR pada 14 Januari lalu telah pun memperaku dan
mewartakan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga Disember 2021 (DPT BLN12/2021).

“Kemudian pada 7 Februari 2022 pula, SPR telah mengeluarkan senarai harga Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021 untuk seluruh negara dan memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Induk ini sudah sedia untuk di bekalkan kepada parti- parti politik.

“Namun sehingga kini, sebulan selepas DPT BLN12/2021 di wartakan, SPR masih belum bersedia membekalkan senarai daftar tersebut kepada pihak yang ingin membeli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mempersoalkan apakah alasan sebenar kegagalan pihak SPR membekalkan daftar pemilih berkenaan.

“Adakah ianya di sebabkan data berikut ada terdapat kesalahan atau ianya di sebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya?

“Berkali- kali pihak unit data Pakatan Harapan (PH) tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan,” katanya.

Fuziah turut memaklumkan menerima pelbagai aduan dari unit data parti-parti PH berkenaan data yang pelik-pelik sebagai nama pengundi seperti ‘Deceased’ dan ‘Expired’ sebagai nama pemilih dan semakan di laman web SPR ia adalah benar.

Beliau berkata, sebelum ini SPR menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan setiap suku tahun yang dipamerkan kepada awam serta di bekalkan secara percuma untuk disemak oleh parti- parti politik dan individu.

“Akan tetapi amalan tersebut kini tidak lagi diteruskan. Dan DPT terpaksa dibeli oleh parti politik dengan kos yang mahal. Parti politik tidak lagi dibenarkan menyemak kesahihan daftar tambahan dalam bentuk rang yang dipamerkan.

“Ianya kini dipaksa untuk kami terima dan dipaksa pula untuk kami beli dengan harga yang mahal untuk tujuan menyemak. Nah..ternyata apabila ianya tidak di pamerkan kali ini, terdapat pula nama-nama yang pelik dalam DPT BLN12/2021,” katanya.

Beliau menggesa SPR membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telah pun diwartakan tersebut kerana dikhuatiri kesahihannya.

“Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi, tetapi dikhuatiri kesahihannya?

“Dan adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac ini akan di kompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ pada daftar pemilih yang telah diwartakan?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here