MALAYSIA dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman hari ini.
“Alhamdullilah, lawatan rasmi pertama saya selama dua hari ke Brunei Darussalam telah berlangsung dengan baik dan sempurna.
“Banyak perkara dibincangkan antara saya dengan KDYMM Tuanku Baginda Seri Sultan Hassanal Bolkiah menyentuh mengenai usaha dan inisiatif bagi meningkatkan hubungan istimewa ke satu tahap yang lebih tinggi dan komprehensif, kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan.
“Antara perkara dipersetujui termasuk mengenai Vaccinated Travel Lane (VTL) bagi pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Brunei dengan pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur-Bandar Seri Begawan,” katanya di Facebook, hari ini.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata kementerian-kementerian yang berkaitan akan meneliti SOP bagi pelaksanaan insiatif VTL ini.
“VTL bagi pergerakan rentas sempadan darat juga dalam pertimbangan kedua-dua pihak.
“Saya minta menteri-menteri berkenaan untuk membincangkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet esok agar ia dapat dilaksanakan segera. Saya mahu ia disegerakan,” katanya.
Malaysia sebelum ini melaksanakan VTL dengan Singapura dan bersetuju untuk pelaksanaan inisiatif itu dengan Indonesia.
Perdana Menteri berkata, selain itu, Sultan Brunei bersetuju pengiktirafan penggunaan MySejahtera dan BruHealth di kedua-dua negara bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.
Katanya, kerjasama itu juga penting bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara, katanya.
“Brunei juga bersetuju mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat kedua-dua buah negara,” katanya. – Malaysiapost

