JAWATANKUASA Pendidikan (JKP) Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mengumumkan mengumumkan segera perancangan kontigensi jika calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangkiti mahupun kontak rapat pesakit Covid-19.
Dalam satu kenyataan, pihak pembangkang itu mendakwa mendapat maklumat bahawa jangkitan Covid-19 melibatkan calon SPM telah meningkat.
“Hal ini mendorong kesiapsiagaan mereka untuk menduduki Ujian Amali dan Ujian Mendengar/Bertutur yang sedang berlangsung terjejas.
“Lebih merisaukan lagi, calon SPM yang dijangkiti Covid-19 mahupun kontak rapat kepada pesakit Covid-19 perlu di kuarantin mengikut jangka masa yang ditetapkan, menyebabkan calon tidak dapat menduduki ujian-ujian yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan jawatankuasa berkenaan.
Jawatankuasa itu turut memaklumkan, maklumat yang diperoleh mendapati Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) belum menetapkan kaedah penggantian menduduki ujian jika calon tersebut tidak dapat menduduki ujian pada tarikh asal disebabkan kuarantin.
“JKPPH mendesak KPM dan LPM memberikan penjelasan segera sama ada bolehkah calon menduduki ujian semula atau tiada sesi ulangan yang disediakan buat mereka?
“Yang lebih penting, JKPPH mendesak KPM dan LPM mengumumkan perancangan kontingensi jika calon SPM tidak boleh menduduki pentaksiran berpusat mulai bulan Mac ini jika mereka dijangkiti mahupun kontak rapat pesakit Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

