Kes Covid-19 meningkat, calon tingkat kempen guna media sosial

0
3

CALON parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Tawau, akur dengan saranan kempen tanpa sentuhan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Ketika tempoh kempen tinggal dua hari lagi sebelum pengundian, calon lebih banyak berkempen menggunakan media sosial atau bertemu pengundi dalam kumpulan kecil.

Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Justin Wong Yun Bin berkata semua aktiviti kempen di lapangan dihentikan serta-merta sejak minggu lalu sebagai langkah pencegahan penularan wabak berkenaan dalam kalangan masyarakat, penyokong dan jentera parti.

“Bagaimanapun, aktiviti kempen diteruskan secara aktif melalui platform media sosial bagi menyampaikan mesej, selain berkongsi pandangan berkaitan sebarang isu yang dibangkitkan orang ramai.

“Saya melihat kaedah ini bukan asing kerana ramai penduduk mempunyai akaun media sosial dan kami mendapat maklum balas yang amat baik,” katanya.

Menurut Justin lagi, mereka turut berkempen secara lintas langsung di Facebook dengan menampilkan tokoh politik selain rakaman video menerusi pasukan bergerak.

“Sebuah lori direka khas yang dilengkapi skrin LED dan pembesar suara digerakkan ke kawasan kempen yang ditetapkan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi,” katanya.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut memanfaatkan penggunaan media sosial dengan membuat siaran langsung di semua kempen dan ceramahnya.

“Walaupun pertemuan bersama pengundi terpaksa dihadkan dalam jumlah yang kecil, tetapi pengundi masih boleh mengikuti ceramah dan kempen melalui ‘FB Live’. 

“Ini antara kaeadah yang menjadi pilihan ketika ini sebagai menyahut saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan situasi semasa Covid-19 di Tawau,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta petugas parti pada PRN Sabah mengamalkan kawalan kendiri yang ketat bagi mengelak penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan tidak menghalang kempen rumah ke rumah, namun jumlah petugas parti mesti dikurangkan dengan cuma satu atau dua orang boleh masuk ke rumah untuk berjumpa pengundi.

Begitu juga ketika ceramah, SPR mencadangkan dihadiri tidak lebih 30 orang, selain SOP perlu dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka terutama ketika sesak dan melakukan penjarakan fizikal. – Malaysiapost