BIDANG pelancongan kesihatan Malaysia mendapat pengiktirafan apabila sekali lagi meraih Anugerah Kesihtan dan Destinasi Pelancongan Kesihatan Terbaik 2019/2020 bagi empat tahun berturut-turut.
Pengiktirafan itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitternya, malam tadi.
“Malam ini langsung dari London, Malaysia menang Anugerah Kesihatan dan Destinasi Pelancongan Kesihatan Terbaik 2019/2020.
“Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada keseluruhan pasukan,” katanya.
Kejayaan terbaharu itu diumumkan pada Anugerah Pelancongan Kesihatan Antarabangsa Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTJ) yang diadakan secara dalam talian.
Dalam perkongsiannya itu, Dr Noor Hisham turut mendedikasi anugerah tersebut kepada semua pemegang taruh sektor penjagaan kesihatan atas kecemerlangan mereka sepanjang 2019/2020 dengan menggunakan hashtag #malaysiahealthcare. – Malaysiapost

