EMPAT polis termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor cedera di kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat ditetak dengan parang serta kerambit oleh seorang lelaki, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 8.30 malam di Kampung Sedar, Tumpat, Kelantan itu, suspek yang juga pesakit mental berusia 36 tahun turut dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, kesemua mangsa berusia 30-an dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
Katanya, polis juga menerima maklumat di bilik Gerakan IPD Tumpat daripada orang awam memberitahu seorang lelaki mengamuk di sebuah rumah tanpa nombor di belakang tangki air di Kampung Sedar.
“Anggota polis daripada Balai Polis Tumpat dan BSJ IPD Tumpat ke tempat kejadian untuk membuat tangkapan segera.
“Semasa proses tangkapan, suspek yang bersenjata parang dan kerambit itu bertindak agresif hingga berlaku pergelutan menyebabkan dua Inspektor, seorang Koperal dan seorang Lans Koperal mengalami kecederaan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Menurut Mohd Azmir, akibat kejadian itu, seorang Inspektor mengalami luka calar dianggarkan sepanjang 10 sentimeter (cm) di belakang badan manakala seorang lagi Inspektor luka di lengan sepanjang kira-kira lima cm dan menerima lapan jahitan.
“Seorang anggota yang berpangkat Koperal pula mengalami luka di kepala sepanjang kira-kira sembilan cm dan seorang Lans Koperal luka di tangan sepanjang dua cm.
“Kesemua mereka dihantar ke hospital untuk rawatan manakala suspek berjaya ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, ujian urin terhadap pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental itu mendapati dia positif dadah jenis metamphetamine dan semakan rekod lampau suspek terbabit dengan kesalahan curi kenderaan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.
“Sebilah parang dianggarkan berukuran 59 sentimeter dan sebilah kerambit berukuran tujuh cm dirampas untuk siasatan.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – Malaysiapost

