CUEPACS menyambut baik saranan penggunaan kamera badan kepada pegawai penguatkuasa yang bertugas di lapangan kerana mampu meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan penguatkuasaan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata selain mengatasi isu integriti, ia juga boleh melindungi anggota penguatkuasa daripada menjadi mangsa penganiayaan apabila dituduh tanpa sebarang bukti yang kukuh.
“Melalui penggunaan kamera badan ini ia sedikit sebanyak melindungi anggoota penguatkuasa daripada tuduhan yang bersifat berat sebelah atau bukti daripada sebelah pihak sahaja.
“Selain itu penggunaan kamera badan juga boleh memaparkan aspek positif dalam tugasan yang dilakukan sekali gus meningkatkan keyakinan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata, bagaimanapun pihaknya memohon kajian terperinci dilakukan setiap agensi penguatkuasaan yang mahu menggunakan kamera badan agar perlaksanaan itu memberi nilai tambah dalam penggunaannya.
Menurutnya, kamera badan yang dibekalkan hendaklah berkualiti tinggi, ringan dan bersesuaian serta dilengkapi prosedur operasi standard (SOP) penggunaan yang efektif supaya dan membantu mencapai objektif yang ditetapkan.
“CUEPACS juga mencadangkan supaya kamera badan yang digunakan dibuat kajian keberkesanannya terlebih dahulu untuk suatu tempoh yang sesuai, sebelum diperluaskan kepada semua pegawai dan anggota yang berkaitan.
“Ia bagi memastikan penggunaannya memberikan impak yang tertinggi kepada peningkatan Integriti dan reputasi agensi penguatkuasaan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

