POLIS menahan bapa kepada dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang meninggal dunia selepas memakan sisa makanan dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, di Langkawi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata bapa kanak-kanak terbabit berusia 36 tahun ditahan malam tadi, selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah.
“Berikutan kes kematian dua kanak-kanak di Bukit Malut petang semalam, polis menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut.
“Siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shariman berkata, mayat dua kanak-kanak terbabit akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar hari ini, bagi proses bedah siasat.
Semalam, dua beradik lelaki warga Myanmar meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan terhuyung-hayang dan mulut berbuih dipercayai setelah makan sisa makanan tercemar dari tong sampah.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Ngei Jamaludin, 2, dan abangnya, Nizambudin, 4, ditemui bapa mereka, Jamaludin, 36, yang berasal dari Myanmar di kawasan tong sampah di situ kira-kira pukul 5.40 petang. – Malaysiapost

