Serangan bertalu-talu terhadap BN gambaran kebimbangan parti lawan 

0
2

BARISAN Nasional (BN) menyifatkan serangan hebat bertalu-talu parti lawan meskipun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor belum lagi bermula, sebagai gambaran kebimbangan terhadap sokongan rakyat yang memihak kepada gabungan itu. 

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah menjangkakan parti lawan akan menyerang habis-habisan bagi menghakis sokongan rakyat terhadap BN. 

Apatah lagi, katanya, BN telah mencatatkan keputusan baik dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu. 

“Kita telah menjangkakan serangan hebat itu, namun pada hemat saya mereka menyerang kerana tak jangka dalam PRK dan PRN lalu keputusan tak begitu memihak kepada mereka. 

“Jadi mereka mahu menebus kekurangan itu untuk mendapatkan semula sokongan rakyat khususnya di Johor kali ini,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini. 

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata BN akan berusaha untuk memenangi kembali hati pengundi tegar gabungan itu bagi menyokong kesemua 56 calonnya di Johor. 

“BN akan bertanding 56 kerusi, kita akan bekerja keras berdasarkan fokus yang telah kita tentukan,” katanya. 

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor. 

Sementara hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here