MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menunaikan janji yang dibuat sebelum ini apabila membawa anaknya berusia enam tahun bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Menerusi hantaran Insta Story, Khairy memuat naik gambar anaknya, bernama Raif yang menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di PWTC hari ini.
“Raif telah divaksin,” tulisnya di hantaran itu.

Sebelum ini, terdapat keraguan dikalangan ibu bapa untuk mendaftar anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, dan mahu Khairy terlebih dahulu membuktikan bahawa vaksin itu selamat untuk kanak-kanak.
Baru-baru ini, Khairy mengesahkan telah membuat tempahan untuk suntikan vaksin bagi anaknya.
“Saya sendiri buat tempahan untuk anak saya. Ini bagi menjawab tohmahan yang kata saya tak vaksin, malah anak pun tak vaksin.
“Anak saya berumur enam tahun akan divaksin dan Insya-Allah saya harap yang lain juga akan buat tempahan kepada anak-anak mereka,” katanya.
Setakat semalam, berdasarkan data portal COVIDNOW menunjukkan seramai 135,478 atau 3.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids). – Malaysiapost

