‘Sanusi pun dapat jadi MB daripada ketidakstabilan politik’ 

0
2
https://www.facebook.com/N24MuhammadSanusiMdNor/photos/1500303697020254

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar tidak lupa diri bahawa ketidakstabilan politik yang menyebabkan beliau menerima ‘laba ghanimah’. 

Setiausaha Umno Kedah, Datuk Hashim Jahiya, berkata tanpa disangka Muhammad Sanusi kini berkuasa di Kedah sebagai Menteri Besar yang sebelum itu hanyalah Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Menurut Hashim, sebagai seorang pemimpin utama negeri, pastinya Muhammad Sanusi tahu kesan buruk bagi sesebuah negeri atau negara yang tidak stabil politiknya. 

“Cuma kadangkala, mungkin Allah berikan jawatan besar itu sebagai ujian kepada beliau. Apakah akan ada rasa ujub, riak dan takbur pada kedudukannya? 

“Sombongkah beliau setelah memegang kuasa? Atau hanya berlagak marhain, namun hakikatnya hanya sekadar mencari publisiti, membeli jiwa atau memancing simpati? Beliau sendiri mendapat jawatan ‘percuma’, bukan?,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Jelas Hashim, sekiranya Umno-BN kononnya tamak kuasa seperti yang dikatakan Menteri Besar Kedah itu, pastinya Umno Johor tidak menasihatkan Sultan Johor untuk membubar DUN dan Umno akan terus selesa menguasai kerajaan negeri hingga selesai penggal. 

“Demi kestabilan politik Kerajaan Negeri Johor itulah maka Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, menanggung risiko mengadap  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRN di negeri itu. 

“Walhal, BN ketika itu memegang kuasa dan tiada siapa yang mampu menjamin kemenangan BN di Johor selepas itu,” katanya. 

Justeru, Hashim membidas tindakan Muhammad Sanusi yang memperlekeh BN di Kedah menunjukkan beliau tidak menghargai lagi Muafakat Nasional (MN).

Malah, katanya, tindakan tersebut sangat bertentangan dengan “fatwa” PAS yang kononnya nekad mahu memperkukuh MN di negara ini.

“Kenyataannya yang terbaru di Pulai, Johor, menjelaskan bahawa MN hanyalah satu dakyah politik PAS yang tidak ikhlas bekerjasama dengan Umno dan BN dalam piagam tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here