KERAJAAN digesa tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘total lockdown’ bagi mengawal penularan varian Omicron Covid-19 yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ia kerana keputusan melaksanakan PKP ternyata gagal memulihkan keadaan Covid-19 di negara ini sekali gus menyebabkan krisis ekonomi.
“Dengan peningkatan semula kes jangkitan Covid-19, kerajaan tidak harus kenakan saman sesuka hati untuk menangani gelombang Omicron.
“Jangan ada lagi siri “total lockdown” yang gagal menyelamatkan nyawa dan mata pencarian sehingga menyebabkan kemelesetan ekonomi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkesempatan melawat dan menyampaikan bantuan kepada seorang warga emas yang terlantar selepas sebelah kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis, hari ini.
“Melawat dan menyampaikan bantuan kewangan kepada Encik Supramaniam yang terlantar di katil setelah kakinya dipotong disebabkan penyakit diabetes.
“Tumpukan perhatian kepada kebajikan golongan rentan yang menghadapi kesusahan hidup seperti keluarga Encik Supramaniam,” katanya. – Malaysiapost

