FAHMI Daniel terpaksa disisih buat seketika selepas didapati positif ujian Covid-19 sejurus tiba di Phnom Penh, Kemboja.
Berita tersebut disahkan oleh pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney selepas menerima keputusan ujian pagi semalam dan pemain berkenaan kini sedang menjalani proses kuarantin.
Setakat ini hanya seorang pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang bakal beraksi di Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dijangkiti Covid-19.
Pastinya perkhabaran ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat selepas skuad Harimau Malaya turut berdepan situasi sama sehingga gagal pada kempen Piala AFF Suzuki, baru-baru ini.
“Sejurus tiba, kami menjalani ujian mengikut protokol dan seorang daripada pemain didapati positif. Perkara ini sudah disahkan pagi ini (semalam) dan pasukan perubatan sedang menguruskan perkara ini mengikut ketetapan.
“Pemain ini sudah pun dibawa ke fasiliti perubatan untuk proses isolasi dan buat masa ini dia akan kekal di sana,” katanya pada sidang media secara maya, semalam.
Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos dan Indonesia, namun skuad Garuda itu sudah pun menarik diri selepas tujuh pemainnya disahkan positif Covid-19.
Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Myanmar pada Selasa ini diikuti Laos (Jumaat) dengan kedua-duanya aksi dilangsungkan di Stadium Prince. – Malaysiapost

