Bazar Ramadan dibenar operasi tahun ini – PM

0
3
Peniaga menjual juadah berbuka di Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang Kampong Bharu di Kuala Lumpur hari ini. Bazar di sini kembali meriah setelah "bercuti" tahun lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

TIADA sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadan pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bazar akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

“Kita tidak akan tutup perniagaan, saya dah sebut raya ke, bulan puasa ke, pasar Ramadan ke, pasar malam ke, masih akan dibuka seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia, hari ini.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini dibenarkan, dan akan dilaksanakan seperti biasa SOP sedia ada.

Pada 2020, operasi Bazar Ramadan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Manakala pada tahun lalu, operasi Bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi. 

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menjelaskan beliau bercadang mengadakan lawatan kerja ke China pada Mei dan ke Asia Barat pada penghujung Mac ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada peringkat awal beliau akan menghabiskan dahulu lawatan kerjanya ke negara-negara ASEAN seperti ke Brunei yang dijadualkan esok dan negara lain seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.

“Saya selesaikan ASEAN dulu sebelum saya pergi ke negara Timur Tengah (Asia Barat), tengah tunggu tarikh mungkin Mac atau selepas Parlimen habis bersidang. Selepas itu saya ke China,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here