KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membenarkan sekolah menengah di Johor dijadikan pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ianya kerana tarikh pengundian tersebut bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya premis sekolah rendah diguna pakai sebagai pusat pengundian dalam PRN Johor.
“Saya dapat maklumat semalam bahawa sekolah menengah di negeri ini mungkin digunakan sebagai pusat mengundi PRN Johor akan datang.
“Tetapi kementerian belum terima permohonan secara rasmi daripada SPR dan kita juga sudah membuat ketetapan bahawa kita tidak mahu sekolah menengah digunakan sebagai pusat mengundi.
“Ini bagi memastikan bukan sahaja guru-guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan SPM, tetapi lebih utama adalah terhadap pelajar yang akan menduduki peperiksaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sebuah hotel di Johor Bahru hari ini.
Radzi berkata, KPM juga telah menerima banyak rungutan berhubung perkara itu khususnya daripada guru-guru dan ibu bapa yang mempunyai anak didik bakal menduduki SPM pada bulan Mac ini.
Tambahnya, peperiksaan bertulis SPM 2021 akan dijalankan bermula pada 3 Mac sehingga 29 Mac ini manakala PRN Johor telah ditetapkan pada 12 Mac dengan pengundian awal akan dibuat pada 8 Mac. – Malaysiapost

